Pada sekitar tahun 1980an, boleh dikatakan 10 buah motorsikal yang berada di jalanraya, 7 buah daripadanya adalah dari model Honda Boon Siew. Sedar atau tidak nama Boon Siew pada motorsikal Honda ini bukanlah datang dari Negara Jepun tetapi ia adalah nama individu yang bertanggungjawab untuk membawa masuk motorsikal Honda terbabit ke Malaysia iaitu mendiang Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew
(Tan Sri).
Menurut sejarah, Tan Sri adalah seorang yang buta huruf dan tidak boleh membaca. Walaupun beliau tidak boleh menulis mahupun membaca, namun daya ingatan Tan Sri adalah sangat baik dan beliau sering bergantung kepada ingatannya dalam membuat sebarang pertimbangan dan keputusan. Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang sentiasa berpandangan jauh kehadapan dan berkebolehan menjangka dan bersiap sedia. Ini adalah kunci kepada kejayaannya pada hari ini.
Kehidupan
Datuk Loh Boon Siew berasal dari Kampung Hui, daerah Fukian, sebuah wilayah yang di anggap paling miskin di China pada satu ketika dahulu. Kehidupan keluarga Datuk Loh sangat miskin menyebabkan beliau tidak pernah berpeluang ke sekolah.
.
Sejak kecil lagi beliau bekerja mengutip najis haiwan sebagai baja pertanian dan memancing ikan untuk dijual sebagai tambahan pendapatan keluarganya. Ketika berumur 12 tahun, ayahnya membawanya ke Pulau Pinang untuk berhijrah dan mencari sumber pendapatan. Beliau disuruh oleh ayahnya bekerja di sebuah kedai mekanik.
.
Mereka berdua tidak mempunyai sedikit pun masa untuk bersuka-suka tetapi bekerja kuat untuk menghantar duit untuk keluarga yang berada di China. Untuk memperolehi pendapatan lebih, di sebelah malam beliau membasuh bas dan upahnya 10 sen bagi setiap bas. Ketika berumur 18 tahun, beliau tertarik untuk berniaga sendiri dan sering memikirkan cara bagaimana untuk mendapat peluang berbuat demikian.
.
Hasil daripada wang yang disimpan sedikit demi sedikit, dia kemudian membeli beberapa peralatan mekanik bernilai RM 10.00 dan 8 buah bas berharga RM200.00 untuk diperbaiki dan dijadikan bas penumpang. Bas ini mendatangkan hasil lumayan kepada beliau iaitu RM1.20 hingga RM 1.40 sehari.
.
Setiap keuntungan disimpan sedikit sementara bakinya dijadikan modal pusingan semula. Dalam masa 7 tahun beliau mempunyai 40 buah bas dan membuka kedai bateri serta barang ganti kenderaan. Selepas perang dunia kedua tamat, Datuk Loh meluaskan perniagaannya dengan membuka kedai kereta terpakai dan menjadi ejen pengedar beberapa jenis motosikal keluaran British.
Dalam tahun 1958, beliau melawat Jepun untuk makan angin. Di Jepun beliau ternampak sebuah motosikal Honda yang belum pernah digunakan di Malaysia dan berfikir mungkin mendapat pasaran baik jika dibawa ke sini. Setelah mengesan siapakah pengeluarnya, beliau membuat perjanjian untuk memesan 12 unit. Motosikal ini kemudian dijual kepada kawan rapatnya tanpa mengambil apa-apa untung.
Motosikal Honda yang dibawanya ditertawakan oleh orang ramai yang menganggap ia tidak berguna dan cepat rosak, namun ia tidak mematahkan hasratnya untuk memperkenalkan motosikal sehingga menjelang tahun 1963, motosikal Honda menjadi kenderaan yang paling diminati.
Beliau adalah orang yang berjaya menempatkan kereta jenis Honda sebagai kenderaan ketiga terbesar dijual di negara ini sejak 3 tahun lalu. Kini beliau mempunyai alasan untuk berbangga dengan kejayaannya di dalam alam perniagaan dan tokoh korporat, sekali gus meletakkan beliau sebagai seorang yang terkaya di Pulau Pinang dan antara 10 tokoh usahawan terkemuka di Malaysia. Sehingga hari ini, nama Tan Sri masih lagi setanding dengan ahli korporat yang ternama yang lain walaupun telah meninggal dunia pada tahun 1995.
Sehingga kini legasi Tan Sri masih kuat di Malaysia selagi motorsikal jenama Honda berada di atas jalan raya Malaysia. Tugasan ini akan mengupas ciri-ciri keusahawanan yang ada pada Tan Sri sehingga ia berjaya menjadikan beliau sebagai salah seorang usahawan yang berjaya walaupun buta huruf dan tidak mempunyai sebarang latar belakang akademik yang tinggi.
Ciri-ciri keusahawanan Tan Sri Loh Boon Siew
Antara ciri-ciri keusahawanan yang dikenalpasti ada pada Tan Sri yang berjaya menjadikan beliau sebagai seorang usahawan yang berjaya dan amat disegani di Malaysia adalah:
Berorientasikan Peluang
Semasa melakukan lawatan ke Osaka, Jepun pada tahun 1954, Tan Sri terlihat sebuah motorsikal bersaiz kecil atau ‘cub’ yang didapati sesuai untuk dibawa masuk ke Malaysia. Menurut sejarah, Tan Sri sanggup mengejar motorsikal terbabit untuk melihat dengan lebih dekat lagi ciri-ciri motorsikal terbabit. Ini kerana beliau berpendapat bahawa motorsikal jenis Honda tersebut amat sesuai untuk digunakan kerana saiznya yang kecil dan ringan sesuai untuk orang Asia yang rata-rata bersaiz kecil berbanding dengan motorsikal buatan Eropah.
Pada ketika itulah, Tan Sri dapat melihat motorsikal Honda ‘cub’ sebagai satu peluang bagi beliau untuk dijual di Malaysia. Lantaran itu, Tan Sri telah berjaya mempengaruhi pengeluar motorsikal terbabit iaitu Honda Motor Japan Limited untuk melantik beliau untuk menjadi pengedar tunggal motorsikal Honda di Malaysia.
Dengan ciri orientasi peluang ini telah berjaya menjadikan Tan Sri sebagai usahawan yang berjaya. Kemampuan untuk menghidu peluang yang ada jelas menjadi kelebihan bagi seseorang individu untuk menjadi usahawan yang berjaya.
Kemampuan Untuk Berwawasan
Sebagai usahawan yang berjaya, Tan Sri dilihat sebagai seorang yang mempunyai wawasan yang tinggi untuk syarikat yang beliau tubuhkan untuk membawa masuk motorsikal Honda ke Malaysia. Ini dapat dilihat dengan terbinanya kilang motorsikal yang pertama di Malaysia iaitu Boon Siew Assembly Plant milik Boon Siew Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Mak Mandin, Pulau Pinang. Dengan terbinanya kilang ini pada tahun 1969, motorsikal Honda tidak lagi dipasang di Jepun tetapi ia dipasang di Malaysia seterusnya dapat menjimatkan kos pemasangan dan jualan.
Dengan terbinanya kilang ini, Boon Siew Sdn Bhd juga telah memperkenalkan beberapa model terbaru motorsikal Honda bermula pada tahun 1971 iaitu model Honda S90Z. Pada hari ini, terdapat pelbagai jenis motorsikal Honda yang berada di pasaran.
Dengan sikap yang berwawasan tinggi inilah yang memacu Tan Sri Loh Boon Siew untuk terus berjaya terutama dalam bidang permotoran. Tidak semua usahawan mempunyai kemampuan untuk melihat ke hadapan seperti Tan Sri. Sikap positif ini senjata utama di dalam usaha beliau untuk terus bergerak maju di dalam industri permotoran Malaysia.
Berkeyakinan Tinggi dan Optimistik
Walaupun Tan Sri ialah seorang yang buta huruf dan tidak mempunyai latar belakang akademik yang tinggi dan formal, ini tidak bermakna beliau tidak boleh menjadi seorang yang berjaya. Berbekalkan dengan daya ingatan yang kuat dan semangat untuk maju dan berjaya yang tinggi, Tan Sri berjaya untuk memanipulasi kemampuan daya ingatan beliau untuk menjadi seorang yang berjaya. Ini terbukti dengan kejayaan Tan Sri untuk mempengaruhi Honda Motor Limited Japan untuk melantik beliau sebagai pengedar tunggal motorsikal Honda di Malaysia
Kemampuan beliau untuk mempengaruhi pihak pengurusan Honda Motor Limited Japan ini dilihat sebagai satu kejayaan yang besar bagi rakyat Malaysia. Ini disebabkan bukannya mudah untuk mempengaruhi pihak pengurusan Honda Japan apatah lagi untuk membawa produk keluaran mereka ke negara yang pernah dijajah oleh tentera Jepun. Dengan persepsi rakyat Malaysia yang negative di mana timbul kemungkinan tidak ingin atau tidak mahu membeli barangan keluaran negara yang pernah menjajah di Malaysia iaitu Jepun, sedikit sebanyak tidak menggugat minat Tan Sri untuk menjual motorsikal Honda di Malaysia.
Berbekalkan dengan keyakinan tinggi yang ada pada Tan Sri terhadap motorsikal Honda ini, jualan keseluruhan motorsikal Honda di Malaysia telah pun menjangkau lebih 2 juta unit sehingga ke hari ini. Sikap yakin untuk berjaya, optimistik dan berfikiran positif inilah yang telah menjadikan Tan Sri seorang usahawan yang berjaya.
Mempunyai Tahap Komitmen dan Keinginan Untuk Berjaya Yang Tinggi
Tan Sri juga dilihat sebagai seorang yang mempunyai tahap komitment yang tinggi di dalam bidang permotoran. Daripada seorang pelatih mekanik pada awal ketibaan beliau di Malaysia sehinggalah beliau berjaya menjadi pengedar tunggal yang sah bagi mengedar dan menjual motorsikal Honda. Komitmen beliau bukan sahaja tertumpu kepada penjualan motorsikal Honda semata-mata tetapi atas dasar minat dan komitmen yang tinggi beliau mendirikan kilang motorsikal yang pertama di Malaysia yang terletak di Mak Mandin pada tahun 1969.
Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya seperti Tan Sri Loh Boon Siew, seseorang itu hendaklah mempunyai tahap komitment dan minat yang sangat tinggi terhadap bidang yang diceburi. Dengan komitmen yang tinggi ini, ia dapat membantu individu terbabit untuk menjadi seseorang yang yang berjaya dalam bidang yang diceburi.
Mengambil Risiko Yang Sederhana
Kami juga mendapati Tan Sri adalah seorang usahawan yang mengambil risiko secara sederhana. Ini dapat dilihat dengan terbinanya kilang motorsikal yang terletak di Mak Mandin. Dengan terbinanya kilang ini, maka jualan dan permintaan terhadap motorsikal dapat dipenuhi secara konsisten.
Ini kerana sekiranya berlaku masalah di Negara Jepun, motorsikal Honda masih dapat dikeluar dan dijual kerana ia dibuat di Malaysia sendiri. Ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kos jualan akibat cukai import yang dikenakan terhadap setiap motorsikal yang diimpot terus dari Jepun.
Walaupun Boon Siew Sdn Bhd telah berjaya menjadi sebuah syarikat yang terkenal dan disegani di dalam bidang permotoran, Tan Sri mengambil keputusan untuk tidak menyenaraikan Boon Siew Sdn Bhd di Bursa Malaysia. Sehingga hari ini, Boon Siew Sdn Bhd masih lagi menjadi sebuah syarikat Sendirian Berhad. Ini secara tidak langsung dapat menjamin kestabilan syarikat kerana pegangan saham syarikat adalah terhad kepada keluarga Tan Sri atau pihak yang berkepentingan dengan Tan Sri sahaja.
Faktor-Faktor Persekitaran Luaran
Walaupun perjalanan Tan Sri untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya nampak mudah tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Senario ini bukan hanya berlaku terhadap Tan Sri sendiri malahan hampir kesemua usahawan yang berjaya pada hari ini telah melalui liku-liku yang sama sebelum bergelar usahawan yang berjaya. Ini kerana di dalam dunia keusahawanan, faktor-faktor persekitaran luaran dapat menjejaskan perjalanan seseorang individu untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Antara faktor-faktor luaran yang perlu dinilai oleh seseorang usahawan adalah:
Politik dan Perundangan
Faktor ini adalah faktor yang terpenting yang harus diberi perhatian oleh seseorang usahawan. Ini kerana faktor politik dan perundangan yang stabil bagi sesebuah negara dapat menjamin kestabilan ekonomi negara terbabit.
Seperti Tan Sri, kestabilan politik di Malaysia pada permulaan perniagaan beliau telah berjaya membantu beliau untuk berjaya. Ini berikutan ekonomi Malaysia pada ketika itu sedang giat dirancang oleh kerajaan kerana negara baru sahaja merdeka. Sudah tentu dengan kejayaan Tan Sri untuk mendapatkan lesen sebagai pengedar tunggal Honda di Malaysia mendapat sokongan kuat dari kerajaan Malaysia. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap ekonomi negara pada ketika itu.
Ekonomi
Seorang usahawan yang berjaya juga harus mampu meramalkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara itu. Ini kerana pertumbuhan ekonomi yang stabil dapat memacu kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan seterusnya dapat membantu usahawan untuk berjaya.
Walaupun pada permulaan perniagaan Tan Sri hanya dengan berbekalkan dengan hanya 15 buah motorsikal yang dibawa masuk ke Malaysia, akan tetapi dengan keadaan ekonomi yang sedang bertumbuh maju selepas kemerdekaan telah menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap motorsikal berbanding dengan kereta. Ini disebabkan keadaan sosio-ekonomi rakyat Malaysia pada ketika itu belum lagi betul-betul berkembang maju.
Sosio-budaya
Faktor sosio-budaya ini terbahagi kepada dua iaitu perubahan demografi dan juga keadaan sosial masyarakat setempat. Kedua-dua faktor ini sekiranya dapat diramal dengan sempurna ia dapat membantu usahawan untuk mengenalpasti potensi dan peluang perniagaan. Faktor sosio-budaya ini juga dapat mengenalpasti kuasa membeli pengguna.
Selepas negara Malaysia mendapat kemerdekaan pada tahun 1957, trend sosial rakyat pada ketika itu mula berubah. Dengan hanya berbasikal untuk ke satu tempat seperti ke pejabat, rakyat Malaysia pada ketika itu sudah diperkenalkan dengan motorsikal oleh penjajah sebelum kemerdekaan. Tetapi kebanyakan motorsikal yang dibawa masuk oleh penjajah adalah bersaiz besar seperti jenama Norton yang tidak sesuai dengan saiz tubuh badan yang kecil masyarakat Malaysia.
Dengan melihat keadaan sosio-budaya yang sedang berubah inilah, Tan Sri Loh Boon Siew telah berjaya mengenalpasti peluang perniagaan yang baru iaitu dengan menjual motorsikal saiz yang kecil dan ringan atau lebih dikenali dengan motorsikal ‘cub’.
Persaingan
Persaingan juga memainkan peranan yang penting di dalam bidang usahawan. Seseorang usahawan itu harus mengenalpasti pesaing mereka agar mereka dapat mengenalpasti kelebihan dan kelemahan masing-masing. Persaingan yang sihat dikalangan usahawan dapat memajukan sesebuah perniagaan akibat dari kemunculan inovasi-inovasi yang baru terhadap sesuatu produk tersebut.
Bagi Boon Siew Sdn Bhd, pada awal perniagaannya kadar persaingan adalah amat sedikit. Ini adalah disebabkan pada ketika itu tidak ramai individu yang menceburi bidang keusahawanan khususnya dalam bidang permotoran. Dengan sedikit strategi pemasaran yang baik, Boon Siew Sdn Bhd telah berjaya untuk memonopoli industri penjualan motorsikal di Malaysia.
Pelanggan/Pengguna
Faktor ini juga amat penting untuk diberi perhatian oleh usahawan. Ini kerana pelanggan atau pengguna inilah yang bakal menjadi penentu kejayaan sesebuah perniagaan tersebut. Sekiranya produk yang disediakan gagal memenuhi kehendak pengguna, sesebuah perniagaan itu boleh mengalami kegagalan.
Pengguna ini juga adalah cabang pemasaran yang terbaik bagi sesebuah perniagaan kerana sekiranya produk yang disediakan berkualiti dan memenuhi kehendak mereka, sudah tentu produk itu akan terus menjadi perhatian mereka.
Walaupun motorsikal Honda dari negara Jepun iaitu negara yang pernah menjadi penjajah Malaysia satu ketika dulu, Tan Sri percaya bahawa motorsikal yang bakal dijual akan diminati ramai. Ini dapat dibuktikan dengan hanya 12 tahun menceburi bidang permotoran Malaysia, motorsikal Honda telah mendapat status No. 1 Perjualan Terbaik Motorsikal pada tahun 1970. Dengan berbekalkan motto “You meet the nicest people on a Honda”, ia secara tidak langsung telah menjadikan jenama Honda sangat popular di Malaysia pada ketika itu.
Proses Kreativiti
Walaupun Tan Sri adalah seorang yang buta huruf dan tidak mempunyai latar belakang akademik yang tinggi serta formal, ia tidak menghalang Tan Sri daripada menjadi seorang usahawan yang berjaya. Ini dapat dilihat dengan kejayaan motorsikal Honda untuk menjadi motorsikal nombor satu di Malaysia sehingga ke hari ini. Tan Sri Loh Boon Siew ialah seorang yang mempunyai tahap daya ingatan yang sangat tinggi.
Dengan keyakinan yang tinggi untuk berjaya, Tan Sri dilihat telah berjaya mengenalpasti satu produk yang jelas amat diperlukan oleh rakyat Malaysia iaitu motorsikal bersaiz kecil dan ringan. Apabila Tan Sri ke Osaka, Jepun pada tahun 1957, Tan Sri telah melihat sebuah motorsikal yang bersaiz kecil dan ringan berada di jalan raya bandar Osaka, Jepun. Maka timbullah idea Tan Sri untuk cuba menjual motorsikal jenis ini di Malaysia.
Lantaran itu, Tan Sri terus berhubung dengan Honda Motors Japan Limited bagi mendapatkan hak untuk menjadi pengedar tunggal di Malaysia. Tan Sri juga dilihat telah menjanakan idea yang bernas iaitu dengan membina kilang motorsikal di Mak Mandin. Langkah proaktif ini telah berjaya memastikan motorsikal Honda terus diminati di Malaysia. Dengan terbinanya kilang ini, ia dapat menjamin kestabilan harga jualan motorsikal Honda di Malaysia di mana faktor-faktor kenaikan duti import dapat diminimakan kerana pengeluaran motorsikal Honda dibuat secara domestik.
Selain daripada aktif dalam bidang permotoran, Tan Sri juga telah memperluaskan usaha niaganya dalam pembangunan hartanah, perladangan dan perhotelan melalui syarikat perlaburannya iaitu Oriental Holdings Sdn Bhd. Oriental Rubber and Palm Oil Sdn Bhd adalah anak syarikat kepada Oriental Holdings Sdn Bhd yang mengembangkan usaha niaga dalam sektor perladangan khususnya kelapa sawit ke Indonesia pada tahun 1994. Ini menunjukan Tan Sri adalah seorang yang kreatif di mana beliau tidak mahu bergantung kepada satu bidang peniagaan (permotoran) sahaja.
Melalui kenyataan di atas, kita dapat melihat bahawa proses kreativiti amat diperlukan untuk menjadi usahawan yang berjaya. Usahawan tidak perlu untuk menjadi terlalu kreatif di dalam mengenalpasti produk yang dipasarkan. Seperti Tan Sri, idea beliau hanya timbul semasa lawatannya ke Osaka, Jepun. Idea yang timbul secara tiba-tiba atau “prompt idea’ inilah telah menjadikan beliau usahawan yang berjaya.
Kesimpulan
Untuk menjadi seseorang usahawan yang berjaya bukanlah jalan yang mudah untuk dicapai. Seseorang itu haruslah bijak di dalam meramalkan produk yang sesuai untuk dipasarkan. Produk tersebut perlulah bersesuaian dengan faktor sosio-budaya masyarakat setempat. Idea untuk mendapatkan produk yang sesuai untuk dipasarkan juga bukanlah perlu dijanakan melalui proses yang panjang atau sukar, tetapi idea yang timbul secara tiba-tiba juga dapat membantu seseorang itu untuk menjadi usahawan yang berjaya.
Seperti Tan Sri Loh Boon Siew, idea beliau yang datang secara tiba-tiba semasa berada di Osaka, Jepun itulah yang telah menjadikan beliau seorang usahawan yang berjaya. Dengan konsep “Not to reinvent the wheel” inilah yang telah memudahkan usaha beliau untuk menjadi usahawan yang berjaya. Dengan hanya membawa masuk motorsikal Honda ke Malaysia sebanyak 15 unit sahaya pada peringkat permulaan, ia terus mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Sehingga hari ini, lebih dari 2 juta unit motorsikal Honda berada di atas jalanraya Malaysia.
really inspiring me. thanks for the article
ReplyDeleteexcellent ! proud of him !
ReplyDeletethanks for this article. i need to do folio about him. LOL
ReplyDeletethanks for this article. i need to do folio about him. LOL
ReplyDelete